December 17, 2013

Gelagat Aqil Aqlan
























Supplements..

Semenjak saya sakit hari tu, saya mula mengambil beberapa supplements. Rupanya baru saya sedar saya ni dah semakin tua. Sistem badan pun dah tak berapa efficient. Zat-zat makanan dan vitamin yang diperlukan badan tak boleh lagi bergantung kepada makanan semata-mata. Mungkin selama ni saya sibuk risau pasal orang lain sampai terlupa nak jaga diri sendiri.

Sebelum ini bukan tak pernah ambil supplement. Pernah ambil Daily Tablet, Calcium Magnesium, Vitamin C. Mostly from Nutrilite Amway (sebab Kak Wa tokey Amway). Tapi selalunya mula-mula je semangat nak makan. Bila dah lama-lama makin jarang makan... lupa atau buat-buat lupa. Memang susah nak disiplin.

Saya sedar sekarang saya tak boleh buat sambil lewa lagi. Kesihatan adalah sesuatu yang amat berharga. Suami pun tiap-tiap hari tanya.

Sekarang saya makan B Complex, Nutriferon, Performance Mix, Calcium, Glucosamine, Vitamin C + Zinc dan juga ubat homopathy.

B Complex - Untuk kesihatan jantung dan otak
Nutriferon - Untuk menguatkan sistem imun
Performance Mix - Memberikan tenaga segera dan mengelakkan dehidrasi (yang ni saya rasa lepas habis ni tak perlu sambung. Ini saya ambil untuk mengembalikan tenaga selepas sakit hari tu untuk mengurangkan rasa letih dan lesu.)
Calcium (+ Magnesium) - Untuk kesihatan tulang. Penting terutamanya untuk ibu yang menyusukan bayi.
Glucosamine - Untuk kesihatan sendi-sendi.
Vitamin C (+Zinc) - Untuk kesihatan secara am. Untuk mengurangkan simptom allergy.
Ubat homopathy - Berbentuk titisan dan biji. Untuk allergy.



Disamping itu saya juga selalu minum air zam zam atau air anugerah, makan madu dan makan kurma.


Wow, banyaknya! Saya rasa saya pun kena buat jadual macam Aqil lah. Anyway, ada yang saya tinggalkan di office, ada yang letak kat rumah. Jadi ada yang saya makan pagi, siang dan malam.

Saya fikir ini sebahagian dari ikhtiar untuk menjaga (dan  mengembalikan) kesihatan saya. Saya harap saya terus istiqamah dan berdisiplin untuk makan semua supplements ini. Selebihnya saya serahkan kepada Allah yang Maha Berkuasa dan Maha Menyembuhkan.



December 16, 2013

Semut oh semut

Semalam tengah main lego dengan Aqlan. Tiba-tiba dia nampak ada semut kat lantai. Ada bekas jem/jelly kat lantai rasanya tadi Aqil atau Aqlan makan trifle kot.

"Mot.. Mot.."

" Ye semut.. nanti mama ambik lap"

Tapi mama sibuk dengan Lego. Aqlan terus ke dapur.

Hmmm... nak ambik kain lap kot. Aqlan memang rajin bab-bab ni. Tolong bibik mengelap, menyapu.. memang rajin.

Tiba-tiba nampak Aqlan bawak spray!! Terkejut mak! Ya Allah Aqlan... terus mama ambik spray tu dan bawak Aqlan basuh tangan.

Ya Allah Aqlan.. ini dah terlebih rajin dah ni. Ini sebab selalu nampak bibik spray semut la ni... Tau pulak dia nak ambik kat mana (kabinet bawah sinki).

Begitu prihatinnya anak-anak kita tengok kelakuan kita. Kita je tak perasan.

So please remember, we are always being watched. Please behave!

December 13, 2013

Chickenpox

Berjangkit dengan sapa pulak lah agaknya. Mula-mula Aqil kena dulu. Mama mula-mula perasan macam ada kudis/gelembung kat kepala. Ingatkan kena kudis api (impetigo) macam dulu. Tak terfikir pun chickenpox. Cepat-cepat bawa ke klinik sebab kalau kudis api tu sangat cepat merebak. Rupa-rupanya chicken pox. Itulah pelik juga. Aqil kan duduk rumah je. Tak tahu la macamana boleh kena. Terus bagi minum air kelapa bagi keluar habis cepat.

 Bila Aqil dah kena, redha jelah kejap lagi mesti jangkit kat Aqlan ni. Seminggu lebih juga Aqil nak baik. Sementara tu Aqlan tak kena-kena pun. Relax je. Rupa-rupanya dia tunggu Aqil dah baik baru nak kena. Hmmm.... Kalau kena serentak gitu kan senang. Cepat selesai. Dah macam ni nak jalan-jalan pun susah. Nak balik kampung pun tak dapat.


Namun alhamdulillah juga kena masa cuti sekolah ni. Boleh lah kakak abang tolong tengokkan sekali. Alhamdulillah kena ni pun Aqil Aqlan tak banyak kerenah. Badan suam-suam sikit masa awal-awal nak keluar bintik-bintik tu. Itu pun takdelah merengek sangat. Selebihnya mereka masih aktif macam biasa.

Sekarang Aqil dah sembuh. Tengah tunggu Aqlan pulak baik.

Semoga cepat sembuh Aqlan. Semoga sentiasa sihat anak-anakku..

Dorina


Siapa tahu ke mana Dorina ini menghilang? Sudah beberapa bulan kami mencarinya tapi tak jumpa di mana-mana. Ianya ialah family favourite. Enak dimakan dengan roti begitu saja. Kami dah cuba banyak brand lain sebagai pengganti - Naturel, Vitalite, Planta, etc.. Semua tak dapat menandingi rasa Dorina ni. Last last kami terpaksa beli Anchor Unsalted. (premium brand tu....)

Sapa tahu apa dah jadi kat Dorina ni habaq mai noo... rindu plak. hehhehe...

December 12, 2013

Gatalnya!

Sejak sakit hari tu, rashes ni macam chipsmore. Kadang-kadang dia keluar, lepas tu pergi begitu saja. Kadang-kadang dia timbul-timbul, kadang-kadang sekadar merah je. Kadang-kadang gatal, kadang-kadang tak gatal. Tapi selalunya gatal especially kat muka. Rashes ni keluar kat muka dan tangan saja setakat ni.

Sejak hari Isnin lepas, rashes ini muncul lagi. Hari Isnin tu saya sampai MC sebab banyak sangat keluar kat muka, merah-merah dan timbul-timbul. Saya sendiri tak pasti kenapa kejap ada kejap tak ada. Adakah ianya telah menjadi seperti allergi? Namun saya memang telah mengambil langkah berpantang dari makan seafood, manalah tahu memang dah jadi allergi. Tapi keluar juga. Mungkin juga sebab hari Ahad tu saya ada makan keropok? Sekarang ni masih lagi monitor. Apa lagi yang boleh menyebabkan allergi?

Hari ni dah hari Khamis, muka saya masih gatal-gatal. Saya tak garu tapi saya gosok-gosok je kadang-kadang sampai rasa sakit kat muka ni. Doktor Amir hari tu ada bagi ubat sapu tapi saya rasa tak ada macam tak ada kesan. Sedang mencari-cari apakah yang boleh membantu saya mengurangkan rasa kegatalan ini.

Alhamdulillah sejak makan supplement Calcium dan Glucosamine (thanks k wa sponsor amway punya), sakit pada sendi/urat dah semakin berkurangan. Makan supplement shaklee - performance mix dan B complex saya rasa semakin bertenaga semula. Alhamdulillah syukur.

Cuma tinggal satu lagi masalah. Rashes dan gatal!! Kadang-kadang saya terfikir. Saya boleh tahan sakit nak bersalin sampai 9-10 jam, tapi saya kalah dengan sakit-sakit sebegini (sakit sendi, sakit urat, gatal-gatal) hingga kadang-kadang buat saya jadi emosional. Agaknya mungkin sebab sakit-sakit macam ni tak tahu bila akan berakhir berbanding nak bersalin. Huhuhu....

Habis tu nak buat macamana? Tahan je lah gatal tu... Arrrgghhh...!!!

December 10, 2013

Nak pindah ke tak pindah?

Semenjak dua menjak tak sihat hari tu, ada ura-ura nak berhenti kerja. Tapi masih belum diputuskan lagi keputusannya. Lepas tu pulak Pak Su kata sakit tu sebab ada orang dengki nak suruh berhenti kerja, lagilah semua orang tak bagi berhenti. Pak Su kata nanti sukalah orang tu. Alamak....

Namun beberapa perkara kami dah plan. Contohnya anak-anak terpaksa dipindahkan ke sekolah kebangsaan. Sebab kalau saya resign memang agak tak berapa mampu nak hantar 5 orang anak ke situ. Apatahlagi setiap tahun yuran bulanan pasti naik. Teringat saya masa mula-mula hantar Luqman ke sekolah itu, yuran bulanannya RM250. Sekarang yuran bulanan ialah RM390! Ye kalilah dengan 5. Itu belum masuk yuran tahunan yang perlu dibayar awal tahun yang seorang dalam RM700-900 (bergantung darjah berapa). Belum lagi buku teks yang perlu dibeli (mana ada dapat bantuan). Jadi kalau saya resign, anak-anak terpaksalah dipindahkan sekolah.

Bila difikir-fikirkan mengenangkan bayaran yang setiap tahun semakin naik, kami fikir elok juga kalau pindah sekolah je walaupun saya tak resign. Baaaaaanyak jimat. Lalu kami pun mula mendapatkan maklumat, ambil borang di PPD, cari sekolah yang paling sesuai, dapatkan surat berhenti sekolah.

Cadangnya nak hantar ke SK Saujana Impian 2. Sebab sekolah ni satu sessi (semua pagi) mudah sikit dari segi logistik. Petangnya pula kami cadang nak hantar ke Sek Agama Sg Balak. Lagipun sepupu suami ada mengajar di situ. Sedang kami seronok-seronok, dapat maklumat kelas di sekolah agama untuk Tahap 1 ialah pagi. Alamak, masalah untuk Imran dan Raihana. Option lain, Imran dan Raihana sekolah agama kat Kafa Umairah sajalah. Tapi macam tak berapa yakin dengan Kafa Ummairah. Lagipun Imran pun macam tak nak berpisah dengan abang kakaknya. Dah biasa kot.

Hmm... seminggu ni memang kami tak tetap pendirian. Nak pindah tak pindah nak pindah tak pindah. Nak pindahkan Luqman, Humaira, Maisara je, Imran dan Raihana maintain Abim, Maisara kata tak adil pulak. Imran tak nak pergi Kafa Ummairah. Kalau pindah, Insya Allah Luqman boleh dapat peluang yang lebih luas untuk ke Tingkatan 1 nanti..... etc etc etc.... Kafa Ummairah berdasarkan testimoni orang tak berapa mantap sangat pembelajarannya. Agak sayang pula bila fikirkan kalau Imran dan Raihana nak ke situ... etc etc etc

Hati mula berbolak balik. Borang pindah dah ambil. Dokumen-dokumen dah siap print/fotostat/disahkan. Tinggal nak isi borang je.

Ya Allah hanya Engkau yang tahu mana yang terbaik untuk kami dan anak-anak kami Ya Allah. Berilah petunjuk dan ilham kepada kami.

Pagi ini, hampir pasti semua akan berpindah. Anak-anak membantu mengisi borang. Pagi ini, suami ke PPD untuk selesaikan urusan perpindahan. Dapat tahu, tahun depan SK Saujana Impian dah mula buat 2 sessi. Tahap 1 petang, Tahap 2 pagi.

Ahhh... pulak dah...

Borang tak jadi dihantar.

KIV dulu.

Suami kata, Yang tak boleh berhenti kerja la macam ni. Kita maintain ABIM je lah..

:)

Kita merancang, Allah jua sebaik-baik perancang.



Anak-anakku dah besar

Atan.. Atan..

Wah sekarang Aqlan dah ada nama baru!

"Atan!" panggil Aqil.

Alhamdulillah semakin banyak perkataan yang dah boleh disebut oleh Aqil Aqlan. Terutama Aqil suka ikut orang sebut apa.

Bas, lori, kakak, abang, bibik, ambik, do (tido), dah, dap (sedap), du (susu), dok (duduk)...

Yang bestnya sebut air. Sebelum ni dah pandai dah sebut air dengan betul. Tapi tak tau bila masa dia bertukar jadi ayish... Aqlan yang mula-mula sebut. Sekarang Aqil pun dah ikut dah sebut ayish...

Aqil pulak sekarang suka joget. Mentang-mentanglah tengah cuti sekolah ni kakak raihana tiap-tiap hari bukak Hi-5. (sampai dah naik boring dah semua orang huhu).. siap dengan tangan-tangan lagi buat macam robot hehhehe..

Seronoklah sekarang tengah cuti sekolah kakak ngan abang boleh layan...



cewah berangan nak pergi sekolah ke??

December 06, 2013

Dr Chan kata Aqlan juga ada PPH

Sudah lama tak bercerita tentang Aqil dan Aqlan di sini. Mungkin saya nak cerita sikit satu perkara yang penting. Beberapa bulan yang lepas, kami bawa kedua-dua Aqil dan Aqlan berjumpa Dr Chan di Gleneagles untuk immunation and vaccination. Waktu itu alhamdulillah kedua-dua mereka tengah sihat. Tapi Dr Chan discover yang Aqlan pun ada bunyi lain pada jantungnya. Lalu terus buat Echocardiogram. Lalu cerita itu bagaikan berulang kembali....
Ramainya orang. Aqil Aqlan sedang menunggu giliran
Dr Lim dan Dr Chan in the room... Primary Pulmonary Hypertension which now has become Familial PPH because at least two in the family has the same diagnosis... types of treatments.. they also recommend us to refer to genetic specialist (not really sure what it is called).. Dr Chan even mention about heart-lung transplant. They even suggested that all our kids to be scanned and checked if they have similar problem. No no no...
Aqlan sedang menjalani Echo
Cuma kami agak tak dapat menerima hakikat yang Aqlan juga menghidapi penyakit yang sama kerana tidak nampak langsung tanda-tanda seperti Aqil. Aqlan seorang yang aktif, dan juga pembesarannya juga normal. Kalau Aqil memang nampak badan dia kecil sedikit. Kalau selsema atau batuk pun Aqlan tak pula macam Aqil yang memang nampak menurun kesihatannya dari segi kurang makan, kurang aktif, muka bengkak. Kami rasa Aqlan tak ada masalah. Cuma mungkin bila diperhatikan betul-betul memang nafas Aqlan juga agak laju. Doktor kata mungkin badan Aqlan lebih kuat jadi dia dapat menyesuaikan dirinya dengan keadaan jantung/peparunya.

Pada mulanya agak sukar juga untuk menerima hakikat ini. Beberapa hari saya rasa macam lemah. Sebenarnya tak fikir sangat pun tapi tanpa disedari kita rasa badan lemes (macam tak bermaya), asyik termenung, cuba nak cari punca benda ni terjadi - apakah masa mengandung saya ada buat apa-apa atau makan apa-apa. Untuk beberapa hari..

Tapi setelah beberapa ketika, saya dah boleh terima hakikat itu. Apa yang penting sekarang, spend quality time with Aqil and Aqlan, seboleh mungkin cuba elakkan diorang dari selsema dan batuk, kena kejar balik jadual imunisasi yang dah banyak tertinggal. We just try to do our best to provide the best for our kids. Insya allah.

December 04, 2013

Tersentap

Alhamdulillah hari isnin yang lepas saya dapt masuk kerja semula. Sepagian mengemaskini email yang dah sebulan ditinggalkan. Hati saya terkesan dengan satu email dari IT Infocenter tentang keadaan rakan Group IT yang kini sedang kritikal di ICU Hospital Serdang disebabkan demam viral. Dalam hati hanya dapat mendoakan kesejahteraan rakan tersebut walaupun tidak mengenali beliau.

Sedang saya mengemaskini email, tiba -tiba masuk satu email baru yang mengatakan rakan tersebut telah meninggal dunia. Bersama kandungannya yang berusia 4 bulan.

Hati saya benar-benar tersentap! Saya juga pada mulanya telah didiagnose dengan demam viral! Ya allah rupanya bahaya juga demam viral ni bukan boleh buat main-main. Ya allah rupanya ujian orang lain itu lebih besar daripada apa yang saya lalui.

Maka saya bersyukur sangat-sangat ya allah kerana engkau masih izinkan diri ini bernafas di atas muka bumi ini. Saya bersyukur Ya Allah! Dan semoga Allah mengampunkan dosa-dosa Allahyarhamah Norhaiza dan tempatkan beliau di kalangan orang-orang yang beriman..