November 29, 2013

Ujian yang kukira sangat besar buat diri ini

Sudah hampir sebulan saya tidak ke pejabat. Sejak cuti maal hijrah tempohari. Cuti masa tu kami ambil kesempatan untuk bercuri ke Gold Coast Morib. Check in pada hari Ahad. Sebelum tu saya dah rasa tak sedap badan macam nak demam. Badan rasa dedar-dedar. Namun sempat jugalah masuk dalam air kat waterpark dia sekali hehehe.

Kami checkout hari Selasa. Saya masih rasa tak berapa sihat. Aqil Aqlan pula batuk selsema. Petang tu kami ke klinik. Doktor bagi saya MC untuk satu hari.

Malam itu badan saya naik merah-merah. Alamak takkan demam campak kot!! Takkan dah besar-besar ni kena demam campak macam pelik je. Esoknya saya ke klinik lagi. Doktor kata bukan campak ni. Dia kata viral rash. Dan saya yang memang masih demam dia kata saya kena viral fever. Memang akan ambil masa sikit untuk sembuh. Dan tak ada ubat, cuma doktor bagi saya booster untuk tingkatkan immune system saya untuk lawan virus tersebut. Lalu doktor sambung MC saya sampai ke hari Jumaat.

Di rumah saya hanya berehat. Tapi dengan Aqil dan Aqlan yang tak berapa sihat juga tidaklah saya boleh berehat sangat kerana melayan kerenah mereka dua orang.

Weekend itu ihtifal PASTI dan juga ihtifal SERI ABIM. Walaupun tak berapa sihat, saya gagahkan juga untuk pergi melihat anak-anak beraksi di pentas dan juga menerima hadiah kecemerlangan. Paling seronok tengok pementasan sketsa Tentera Abrahah dan Burung Ababil oleh pelajar 6 tahun PASTI D'Sutera. Tentulah seronok sebab idea/skrip/lagu semua saya yang susun. Orang di belakang tabir. Cikgu2 tinggal melatih anak-anak je. Namun good job to the teachers. Saya rasa bangga!

Hari Isnin, saya rasa masih melayang-layang. Dan rashes keluar di muka banyak dan gatal. No way saya nak pergi kerja macam ni. Rashes ni pun pelik. Kadang-kadang dia keluar tak timbul. Cuma merah-merah bawah kulit. Tapi kadang-kadang dia keluar timbul-timbul. Bila keluar yang timbul-timbul memang sangat gatal terutama kat muka. Tak tahan!!! Lalu saya ke klinik lagi nak minta MC lagi. Doktor agak concern juga sebab dah seminggu tak baik lagi lalu ujian darah dilakukan. Alhamdulillah tak ada denggi. Dapat satu hari lagi MC.

Esoknya saya ke pejabat. Oh lupa pula nak cerita. Selain dari demam suam-suam dan rashes, saya juga sakit-sakit sendi dan urat. Tapi oklah masa ke office tu dah tak sakit badan sangat cuma kaki je bila banyak berjalan terasa sakit juga. Tapi memang satu hari kat office tu saya rasa tak larat. Terutamanya kepala bila berjalan terasa melayang-layang. Petang tu balik sendiri sebab suami kena balik lambat. Sampai di rumah memang saya flat habis. Tak larat.

Esoknya suami bawa saya ke klinik lagi sebab saya tak larat sangat. Bila check rupanya temperature saya 40degree. Saya pun tak perasan cuma saya rasa macam seram sejuk je. Lalu Dr Qahhar di Poliklinik Annur pun menyarankan kami rujuk ke pakar sebab demam pun dah lebih seminggu.

Kami terus ke Columbia Asia Hospital yang memang berdekatan. Dirujuk kepada Dr Amir Ramli tapi kebetulan beliau sedang bercuti jadi kami dirujuk kepada Dr Tai Keen Sang. Petang tu terus ambil darah, X-ray, ambil urine. Terus admitted. Masuk air (drip). Masuk antibiotik. Dan makan antibiotik. Dan makan ubat allergic.

Lama juga saya di hospital. Setiap hari darah akan diambil. Setiap hari bila ward round, Dr Tai kata dia tak jumpa lagi apa yang menyebabkan demam saya sebab semua ujian darah dan yang lain-lain ok. Selama saya di ward memang temperature saya turun naik. Bila ok memang ok. Tapi bila tiba-tiba saya rasa sejuk menggigil, saya berselimut lepas tu temperature saya akan naik sampai 39-40 degrees. Bila makan panadol, temperature akan turun sikit 38degrees. Doktor pun pening, nurse pun pening, saya lagi pening. Dengan rashes yang kejap timbul kejap hilang dah macam chipsmore pulak.

Ada ketika memang saya kuat, tapi kadang-kadang saya tewas juga dengan perasaan sendiri. Sampai bila la saya nak macam ni. Bila lah nak sembuh. Adakalanya menangis sorang-sorang kat bilik. Apalagi teringat anak-anak kat rumah terutama Aqil Aqlan. Huhhuhu sedih...

Saya masuk ward hari Rabu. Sampailah hari Ahad, Dr Amir mengambil alih kes saya. Beliau tunjukkan segala result atas ujian-ujian yang telah dibuat. Beliau tunjukkan mereka detect ada jangkitan kuman dalam badan yang sangat tinggi. Tapi berdasarkan test-test mereka tak dapat jumpa kuman apa. Semua test dah buat - denggi, malaria, kencing tikus, salmonella, typhoid dan apa lagi ntah saya pun tak ingat, semua test negatif.

Dr Amir memberikan saya satu lagi jenis antibiotik makan dan dia kata kalau dah takde demam 24 jam baru dia boleh discharge saya. Alhamdulillah selapas itu memang tiada lagi demam. Tapi badan saya masih tak berapa larat. Tapi alhamdulillah hari Selasa tu dapat discharge. Sebelum discharge, Dr Amir terangkan jangkitan kuman dalam badan masih lagi tinggi. Beliau nasihatkan untuk teruskan dengan perubatan Islam sebab saya sebenarnya belum sihat betul dan mereka dah tak tau lagi nak buat apa. Harapnya antibiotik tu dapat membantu.

Malam itu, suami menjemput kawannya dari Darussyifa untuk datang rumah tengok-tengokkan saya. Dia bacakan saya ayat-ayat Quran dan buatkan air minum dan juga air mandi. Malam itu saya memang tak boleh tidur. Rasa gatal sangat satu badan. Pagi esok saya tengok badan saya penuh dengan rashes dengan bermacam-macam bentuk. Ada yang timbul macam gegata. Ada yang merah saja. Yang agak menyeramkan, ada yang berbentuk seperti kena cakar di tangan dan peha saya. Memang rasa semacam.

Sementara itu sekali sekala saya masih lagi demam. Selalunya waktu malam. Kadang-kadang panas sangat, kadang-kadang suam-suam saja. Mungkin tengah nak keluarkan apa-apa yang patut di keluarkan dari badan ini.

Air minum dan mandi dari Darusyifa tu untuk 3 hari. Selepas 3 hari masih belum baik betul. Sendi-sendi saya pula masih sakit-sakit. Kadang-kadang sikit-sikit, kadang-kadang sakit sangat terutama di kaki, lutut dan jari-jari tangan. Kadang-kadang sampai bengkak-bengkak.

Kami berubat dengan pakcik suami pula yang memang pandai juga ubat-ubatkan orang. Saya kena minum air kelapa dan air yang telah dibacakan dengan ayat alquran selama 3 hari. Masa ni rashes masih lagi keluar, urine saya berwarna coklat! Ada lagi benda nak keluar dari badan ni tak habis-habis lagi. Sakit sendi saya makin teruk hingga satu ketika saya tak dapat berjalan! Lutut saya kedua-duanya bengkak. 2-3 hari saya tak dapat berjalan. Saya rasa sedih sangat. Kenapa lah sampai macam ni sekali ujian Allah kepada saya. Lutut saya sakit sangat. Kadang-kadang rasa berdenyut-denyut.

Namun kata-kata semangat dari suami, ahli keluarga dan kawan-kawan sedikit sebanyak dapat menenangkan dan menguatkan semangat saya dan menginsafkan saya. Terutama kata-kata dari suami saya. Beliau kata, selama 35 tahun hidup Allah dah bagi kita nikmat macam-macam. Memang tak pernah lagi dapat ujian yang besar macam ni. Jadi bila Allah bagi ujian ini, kita kena kuat dan sabar. Adakala terasa malu nak minta Allah sembuhkan sebab nak dibandingkan dengan nikmat yang Allah bagi selama 35 thn itu nak dibandingkan dengan ujian sakit ini yang tak sampai sebulan pun lagi. Memang ujian ini telah menjadi satu tarbiyah kepada diri ini yang mungkin sekali sekala terleka dari mendekati diri kepadaNya. Memang saya akui. Boss saya pula kata anggaplah ujian ini sebagai satu anugerah. Yang saya kira ada betulnya kerana inilah masa saya reflect semula diri saya ini. Alhamdulillah ya Allah.

Hari Isnin lepas, follow up appointment dengan doktor. Waktu itu saya terpaksa menggunakan kerusi roda kerana tak larat nak jalan. Sebenarnya boleh jalan tapi slow-slow. Doktor bila tengok keadaan saya dia kata memang sakit-sakit sendi ini boleh jadi after effect kepada jangkitan kuman dalam badan. Beliau beri saya ubat arthritis. Dan macam orang tua pulak saya rasa. Selain itu, beliau masih tekankan untuk teruskan dengan perubatab islam. Alhamdulillah selepas itu kaki saya mula sembuh. Saya dah boleh duduk bangun sendiri. Jalan pun semakin laju. Cuma sekali lepas balik hospital tu saya demam. Mungkin agak penat petang tu. Tapi setakat hari ni, saya dah tak sakit sendi. Cuma ada rashes sikit-sikit lagi (gatal pulak tu kat muka). Malam nak tidur saya bunyikan ayat Ruqyah (install di handphone). Pagi dan petang saya baca matsurat. Alhamdulillah setakat hari ni saya rasa saya dah boleh ke pejabat isnin nanti.

Alhamdulillah Alhamdulillah Alhamdulillah...

Kalau orang kata saya kena buatan orang ke, saka ke, gangguan makhluk halus ke.. saya anggap ini ujian yang Allah berikan kepada saya. Saya pun tak tahu jika saya lulus ujian ini atau tidak tapi saya harap saya lulus walaupun pelbagai rintangan dan pergolakan emosi saya lalui. Memang ianya lebih kepada pertarungan dalam diri sendiri sama ada yakin dengan Allah atau tidak.

Insya allah saya akan kembali bekerja isnin depan 2 Disember. Memang tepat-tepatlah sebulan.

Ya Allah ampunkanlah dosa-dosaku.