January 08, 2014

Bila Waktu Telah Berakhir


Apa yang anda faham tentang gambar di atas?

Ye, mati itu boleh bila-bila masa sahaja.

Ada yang diberikan rezeki umur yang panjang. Ada yang masih muda, umur 20-30-an telah ditarik nyawanya. Ada yang masih di bangku sekolah telah dipanggil olehNya. Ada juga yang baru beberapa hari melihat dunia, namun Allah lebih menyayanginya. Semuanya telah tertulis di Luh Mahfuz.

Beberapa orang kawan saya yang agak dekat, telah dipanggil menemui Ilahi.. Arwah Farsze' - dormmate di sekolah menengah, juga sama-sama berkursus sebelum melanjutkan pelajaran ke luar negara di bawah tajaan Telekom, masuk kerja dengan Telekom sama-sama usrah semasa tinggal di Vista Angkasa walaupun tak serumah. Arwah meninggal kerana kanser rahang sewaktu umurnya 25 tahun. Arwah Karl, sama-sama belajar di New College Cardiff junior setahun juga kerana cancer. Arwah Azlina (Ina) - teman sekerja sama-sama buat product development dan juga jiran setaman, juga disebabkan cancer, meninggalkan anak yang masih kecil-kecil.

Arwah Abg Pauzi - sepupu suami, meninggalkan isteri yng tidak bekerja dan 9 orang anak! ketika itu umurnya awal 40-an kerana serangan jantung. Arwah Abg Din, abang ipar saya, suami K zun, juga awal 40-an meninggal kerana sakit. Tak pasti sakit apa tapi rebah dan masuk ICU satu malam dan terus meninggalkan K zun dan Ammar.

Saya tidak dapat menatap wajah terakhir ayah saya. Arwah Bak meninggal semasa saya menuntut ilmu di tahun akhir di UK. Begitu juga dengan arwah nenek sebelah mak saya. Beliau pergi semasa saya dalam perjalanan dalam bas ke Terengganu untuk mengikuti kursus induksi sebelum ke luar negara. Arwah atuk sebelah mak juga begitu. Beberapa tahun terlantar sakit tua dijaga mak bergilir-gilir dengan pakcik dan makcik yang lain. Akhirnya beliau pergi semasa saya sedang kursus di Kuantan.

Yang pasti, betapa dekatnya kita dengan kematian. Tak kira umur. Sewaktu saya sakit hari tu, saya sungguh takut kalau saya mati. Saya terbayang-bayang apa akan jadi jika umur saya tak panjang. Bagaimana dengan anak-anak saya terutama Aqil dan Aqlan yang masih kecil lagi. Adakah sudah cukup bekalan saya. Cukupkah amalan saya? Adakah Allah redha dengan saya? Adakah saya akan menyusahkan orang-orang yang saya tinggalkan. Puasa masih belum habis ganti. Penama di KWSP saya tak kemaskini lagi. Borang wasiat sudah diambil tapi masih belum diisi. Dosa-dosa saya.. dengan Allah dan juga dengan sesama manusia. Hingga saya nekad untuk tebalkan muka mengaku kesalahan saya kepada seorang sahabat saya yang telah saya pendam lebih 10 tahun. Alhamdulillah beliau memaafkan. Syukur... kerana Allah telah bukakan hatinya. Saya rasa saya ada menyinggung hati mak tidak lama dulu lalu saya titipkan permohonan keampunan dalam kad harijadi mak. Saya fikir saya tak mahu tangguh lagi kerana saya takut tak sempat. Dosa-dosa saya yang lain yang saya tak ingat, tak perasan menyinggung hati sesiapa, hati suami, adik beradik, kawan-kawan, jiran? Ya Allah, ampunkanlah dosa-dosaku... Bagaimana dengan tanggungjawabku adakah semuanya dilaksanakan dengan jujur dan amanah? Sebagai anak, isteri, ibu, pekerja, bos, ahli dalam jemaah, ahli dalam masyarakat? Oh banyaknya soalan yang perlu dijawab. Ini baru soalan sendiri. Belum lagi soalan yang akan dilontarkan oleh Mungkar dan Nakir.

Bila diri dah mula sihat. Alhamdulillah.. Namun kesan tarbiyah dari Allah itu masih terkesan. Mati itu boleh bila-bila masa dan tidak kira umur. Adakalanya saya sangat berdebar bila melihat kesihatan Aqil yang kadang-kadang menurun. Adakah saya benar-benar bersedia untuk menghadapi sebarang kemungkinan? Saya semakin curious tentang pengurusan jenazah. Adakah saya bersedia untuk memandikan jenazah mak saya atau anak-anak saya atau adakah mereka yang akan memandikan jenazah saya? Saya rasa saya tahu kenapa suami saya tak berapa support keinginan saya untuk berhenti kerja, salah satunya kerana jika berlaku apa-apa kepada beliau saya masih boleh berdikari. Siapa akan pergi dulu, saya atau dia?

Huhuhu... sungguh mengerikan apabila membicarakan tentang kematian. Dan selalunya soalan-soalan ini akan berlalu begitu saja kerana kita amat takut untuk memikirkannya. Namun saya rasa memang perlu kita fikirkan sebab kita tahu mati itu pasti.  Dan ianya datang tanpa dapat kita duga. The question is "ARE WE READY?"

OPICK – BILA WAKTU TELAH BERAKHIR 

Bagaimana kau merasa bangga
Akan dunia yg sementara
Bagaimanakah bila semua hilang
Dan pergi meninggalkan dirimu

Bagaimanakah bila saatnya
Waktu terhenti tak kau sadari
Masihkah ada jalan bagimu
Untuk kembali mengulangkan masa lalu

Dunia dipenuhi dengan hiasan
Semua dan segala yang ada akan kembali padaNya

Bila waktu tlah memanggil,
Teman sejati hanyalah amal
Bila waktu telah terhenti
Teman sejati tinggallah sepi


No comments: