July 18, 2013

Kisah Aqil Part 2

"Eiza rasa tak sedap hati la bang. Kadang-kadang nampak macam bibir dia pucat" saya menyatakan kerisauan tentang keadaan Aqil.

Aqil pula sudah mula muntah-muntah. Makan kurang. Minum susu ok cuma selalu tersedak dan muntah.

"Jom kita bawak Aqil pergi Hospital An Nur Bangi. Columbia Hospital tu Eiza macam tak berapa yakinlah."

Suami pun menyetujuinya.

Lawatan ke Hospital Pakar An Nur, Bangi

Hari itu hari Selasa 7hb May 2013. Hari itu merupanya hari Mesyuarat Agung Tahunan untuk TM. Jadi semua staff yang bekerja di Menara TM, TM Annexe dan TMCC adalah dicutikan untuk memberi laluan kepada para shareholder bermesyuarat dengan tenang dan mengurangkan kesesakan terutamanya parking.

Hari itu juga ialah hari jadi suami. Jadi saya dah ajak suami ambil cuti sekali supaya bolehlah kami keluar jalan-jalan berdua celebrate birthday. Namun disebabkan perkembangan semasa Aqil, pagi itu kami terus ke hospital. Alhamdulillah menunggu pun tidak berapa lama sangat.

Kami berjumpa Dr Khairul. Kami menceritakan keadaan Aqil sejak 3 minggu lalu. Sambil itu Dr Khairul membuat pemeriksaan ke atas Aqil. Dr kata Aqil nampak biru. Dr terus peparu, jantung, tangan...

"Peparu dia ok, ini jantung ni. Jantung dia ada bunyi lain sikit. Nurse tolong bawa ke bilik X-Ray ambil X-ray dulu." kata Dr Khairul.

Pergerakan Dr Khairul agak tergesa-gesa. Ini membuatkan saya rasa cemas. Hati saya semakin resah.

Selepas mendapatkan X-Ray, Dr menunjukkan keadaan jantung Aqil yang bengkak. Dr menyarankan kami untuk terus dirujuk kepada pakar jantung kanak-kanak dengan segera.

"Minta Dr tolong recommendkan lah doktor mana, kami tak pasti" kata suami.

"Option yang ada Hospital Serdang. Tapi lama sikit nak menunggu. Tapi ada GL kan, saya rasa boleh pergi IJN atau Gleneagles. Atau Pantai Bangsar. Tapi Pantai Bangsar memang ada cardiologist tapi tak ada facility. Maksudnya boleh jumpa untuk dapatkan consultation tapi kalau memerlukan apa-apa prosedur perlu ke hospital lain. Gleneagles semua ada"

Kami berbincang secara ringkas. Hospital Serdang akan mengambil masa yang lama untuk menunggu. Gleneagles macam jauh pulak. IJN lagi jauh. Pantai macam ok tapi tak cukup kelengkapan pula.

Akhirnya kami memilih Gleneagles Hospital.

"Saya refer kepada Dr Lim Miin Kang. Sampai di sana terus ke Emergency ye. Terus pergi, jangan lengah-lengah." kata Dr Khairul sambil menulis surat rujukan.

Doktor juga membayangkan kemungkinan besar Aqil perlu dimasukkan ke ward. Oleh itu jika berkesempatan doktor suruh terus bawa barang-barang kelengkapan.

Sementara suami menyelesaikan bil, surat rujukan dan x-ray, tekak saya sudah mula kembang, pandangan saya kabur, hati saya sebak. Bermacam-macam andaian ada dalam kepala saya. Melihat keadaan Dr Khairul yang macam tergesa-gesa menambahkan lagi kerisauan saya. Bagaikan menunjukkan keadaan Aqil yang mungkin kritikal. Banyak kali Dr Khairul sebut segera, jangan lengah, cepat-cepat.

Kenapalah agaknya jantung Aqil, kesian anak mama... sayang dia.

Ke Hospital Gleneagles

Jam menunjukkan pukul 11 pagi. Kami belum bersarapan lagi. Kami mengambil keputusan untuk tapau sahaja makanan dari restoran bersebelahan Hospital Annur tadi dan makan saja dalam kereta. Lauk tengahari sudah tersedia tapi macamana pula nak makan dalam kereta? Akhirnya saya memilih mihun goreng saja.

"Yang, nak terus pergi ke nak balik dulu ni?"

"Lalu rumah ke tak?"

"Hmm... nak lalu jalan mana ye. Ada jalan yang lalu rumah, ada jalan yang tak lalu rumah."

"Sempat ke? Doktor suruh segera ni. Macamana kalau terus pergi nanti baru abang balik ambik barang"

"Dah tengahari dah ni, check - check pun dah sampai petang rasanya. Kalau nak ulang alik mungkin tak sempat ni sebab hospital pun agak jauh juga. Macam nilah kita singgah rumah dulu ambil barang. Pit stop, jangan lama-lama. Insya allah ok. Kita doalah. Nanti on the way ke hospital boleh makan dalam kereta. Aqil pun tengah tidur tu"

Saya bersetuju.

Memang pit stop. 5 minit dah siap.

Perjalanan ke Hospital Gleneagles mengambil masa lebih kurang 45 minit. Di dalam kereta, suasana senyap sunyi. Masing-masing melayan fikiran masing-masing. Aqil pula saya baringkan di atas kerusi, lena dibuai mimpi. Saya memerhatikan nafasnya yang turun naik dengan laju.

"Ya Allah, selamatkanlah anakku. Sihatkanlah Aqil. Jauhkan perkara-perkara yang buruk daripada berlaku kepada Aqil. Sembuhkanlah anakku. Permudahkanlah segala urusan kami."
Aqil sedang tidur dalam perjalanan ke Gleneagles

bersambung..

No comments: