March 28, 2006

Berdosakah..?

Sejak akhir-akhir ini kita semakin banyak mendengar isu tudung yang diperkatakan. Bermula dengan kejadian menggunting tudung oleh guru disiplin di sebuah sekolah di Pahang. Kemudian kejadian pengetua sebuah sekolah menarik balik penyertaan dalam kejohanan bola jaring disebabkan ada anak muridnya yang menjadi peserta telah membuka tudung semasa bermain. Timbul pula kenyataan seorang pekerja yang dipaksa membuka tudung sekiranya mahu bekerja di syarikat tersebut. Dan yang terbaru berkenaan polis wanita wajib bertudung tidak mengira agama dalam acara perbarisan.

Dalam pada itu, isu tudung juga hangat dibahaskan di parlimen. Menteri pelajaran menegaskan pihak kementerian tidak mewajibkan semua pelajar islam di sekolah untuk memakai tudung tetapi mereka digalakkan untuk berbuat demikian. Oleh itu mana-mana pihak sekolah tidak berhak untuk mewajibkan murid-muridnya memakai tudung dan tidak boleh memaksa murid-muridnya memakai tudung dan tidak boleh mengambil tindakan kepada mereka yang tidak memakai tudung. Pihak polis juga menegaskan bahawa pemakaian tudung diwajibkan ke atas polis wanita hanya dalam acara perbarisan untuk tujuan keseragaman.

Mengapa agaknya kita sibuk membahaskan perkara yang sebenarnya sudah termaktub dalam Al-Quran? Siapakah kita untuk menukar hukum yang telah dengan jelasnya tercatat dalam hukum Islam?

Di sini terdapat beberapa soalan. Bukan untuk dijawab, tapi sebagai renungan.

Berdosakah sekiranya orang yang ada kuasa menggunakan kuasanya untuk menegakkan hukum Allah walaupun ianya bercanggah dengan kuasa pemerintah?

Berdosakah sekiranya memaksa orang di bawah kuasa kita untuk memakai tudung?

Berdosakah orang yang memakai tudung kerana terpaksa/tidak ikhlas?

No comments: