February 22, 2007

Berapa anak yang cukup?


Biasanya tajuk berapa anak yang cukup ini hanya disembangkan secara bisik-bisik sahaja antara suami dan isteri...

Namun bisik-bisik ini masih boleh diperkatakan secara ilmu dan realitinya. Maka kita cuba utarakan untuk menjadi buah fikiran kita bersama.

Sekali lalu melihat tajuk ini, ia berkait rapat dengan persoalan merancang atau menghadkan bilangan anak dalam sesebuah keluarga. Adapun menghadkan jumlah anak kerana adanya ‘keperluan-keperluan’ tertentu di antara suami isteri, maka Islam melihat itu tidak mengapa. Ada keharusannya.

Perkara ini diserahkan kepada kebijaksanaan suami dan isteri. Yang penting keharusan ini tidak boleh diambil mudah yakni tidak dianjurkan kepada sembarangan pasangan yang akhirnya merebak menjadi budaya ikutan seluruh masyarakat Islam hingga ke tahap timbulnya anggapan bahawa amalan menghadkan bilangan anak itu sebagai satu kemestian pula. Dalam soal merancang bilangan anak, kita dapat melihat wujudnya pasangan yang sama ada:

1. merancang menambah atau membanyakkan anak (zuriat) ATAU
2. merancang menjarakkan kelahiran anak (zuriat) kerana maslahah tertentu dan ‘darurat’ yang tidak dapat dielakkan.

Yang nyata, hampir tidak ada pasangan yang telah dan akan berkahwin merancang untuk tidak mahu mempunyai anak. Sebab perasaan ingin memiliki anak adalah fitrah nurani kita. Atau ada yang merancang tidak mahu beranak awal atas sebab-sebab tertentu, tapi tetap inginkan kehadiran anak. Kalau ada juga yang memang langsung tidak mahu anak, bermakna suami isteri itu mesti ada masalah kejiwaan. Pendek kata, semua pasangan mahukan anak (cahaya mata) sendiri dan kalau tidak dapat melahirkan anak sendiri pun, mereka akan mendapatkan anak angkat.

Sebelum pergi lebih jauh, baik bagi golongan ibu bapa yang merancang menambah anak atau menjarakkan kelahiran anak, masing-masing pastinya sudah pun sepakat di dalam soal-soal dasar berikut:

a. Setiap anak yang lahir itu telah dijamin dan ditulis rezekinya di sisi Allah.

Mereka sudah tidak ragu dan risau langsung pasal soal ini. Soal rezeki adalah urusan Allah s.w.t. yang tidak boleh diragukan lagi. Tidak boleh buruk sangka pada Allah dalam apa hal jua termasuk dalam soal rezeki. Yang tinggal bagi seorang ketua keluarga (bapa) ialah berusaha mendapatkan rezeki itu, kemudian bertawakkal kepada Allah s.w.t.

Ertinya kalau ada suami isteri atau ibu bapa yang merancang mengurangkan anak kerana takut tiada jaminan rezeki anak-anak, maka pegangan dan kepercayaan itu boleh merosakkan akidah mereka. Itu adalah satu pandangan yang jahil, sesat dan menyeleweng. Macam orang-orang kafir Quraisy yang membunuh anak perempuan kerana takut sial atau takut ditimpa kemiskinan.

Dalam satu hadis, Rasulullah s.a.w. menyatakan bahawa setiap orang anak yang lahir membawa bersamanya kemuliaan.

b. Anak adalah penyambung keturunan.

Dari Abu Hafsah (Sayidina Umar r.a.) bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda: “Janganlah kamu meninggalkan doa agar memiliki anak, sebab apabila seseorang meninggal dunia dan tidak memiliki satu anak pun, maka terputuslah namanya (di atas bumi ini).” (Riwayat At-Tabrani)

c. Doa anak soleh itu tidak terputus.

Anak sekiranya dibentuk menjadi anak yang soleh, insya-Allah akan menjadi aset yang sangat berharga pada kedua-dua ibu bapa khasnya apabila kedua-duanya sudah bersemadi di pusara kelak.

Rasulullah s.a.w. bersabda: “Apabila mati anak Adam, terputuslah segala amalannya kecuali tiga perkara iaitu sadaqah (amal) jariah, ilmu yang bermanfaat dan anak soleh yang selalu mendoakannya.” (Riwayat Imam Muslim dari Abu Hurairah r.a.)

Maka lagi ramai anak yang dapat dididik dan dibentuk menjadi anak yang soleh dan solehah, maka lagi banyaklah aset dan saham yang dimiliki oleh ayah dan ibu. Perbezaan di antara pasangan yang mahu menambah anak dan mahu menjarakkan tadi hanyalah sekitar bagaimana merancang dan mentadbir anak-anak itu. Dan perancangan mereka itu bertujuan memelihara dan menjaga maslahah-maslahah tertentu.

Jadi, sudah tentu, setiap suami isteri dan ibu bapa yang mewakili dua golongan tadi mempunyai sebab dan hujah masing-masing. (Koleksi ANIS / Oleh: Amaluddin Mohd Nafiah)

---------------------------------------------

pengalaman mama, setiap kali tambah sorang, naik satu gred.. alhamdulillah rezeki anak...
tapi kepada yang belum dapat anak, harap dapat bersabar dan jangan penat berdoa... semoga satu hari nanti Allah makbulkan doa kita.. ameen...

No comments: