June 16, 2006

Happy Fathers Day!!

Allahyarham Kamsan Bin Hj Yunos dalam kenangan... 16/06/1932 - 15/03/2000

Hari ni tarikh lahir arwah tok. Arwah tok meninggal semasa mama sedang belajar di perantauan. Waktu itu pukul 2 pagi waktu UK. Terdengar deringan telefon menjerit-jerit di keheningan malam. Naz yang angkat telefon. Rupa-rupanya untuk mama. Bila angkat telefon mama terus kata ' Kenapa la telefon malam-malam ni? kat sini pukul 2 pagi la..." Tidak terlintas langsung dalam fikiran mama kalau telefon berbunyi waktu yang tak sepatutnya tu maknanya selalunya ada emergency. Mungkin tengah mamai agaknya. " Sabar ye dengar ni.. Bak dah tak ada..." kata Pak Zan.

Hari itu adalah hari wukuf. Anak-anak semua akan balik petang itu untuk menyambut hari raya haji di kampung. "Bak tak berapa sihat ni.. demam-demam sikit," kata nek melalui corong telefon. " Teruk ke demamnya mak, kalau macam teruk kitorang balik cepat sikit lah.." kata Mak Wa. " Takpelah tak teruk sangat .. masih boleh bangun-bangun jalan-jalan lagi.. lagipun petang ni semua dah nak balik dah. Tunggu petang ni je lah.." kata nek.

Pagi itu, arwah tok masih boleh berjalan-jalan, masih boleh bercakap dalam telefon memesan jamu, masih boleh bergurau dengan anak menantu. Bila tiba waktu tengahari beliau asyik bertanya sama ada dah masuk zuhur atau belum.. sekejap-sekejap tanya.. sekejap-sekejap tanya.. " Kejap lagi masuk lah zuhur.." nek kata. Arwah tok pun pergi ke bilik air untuk mengambil wudhuk. Selepas keluar dari bilik air, mungkin rasa tak berapa larat, terus berbaring di katil ruang rehat di bawah. Waktu itu sudah nampak tanda-tanda yang beliau akan pergi kerana beliau meminta untuk memanggil semua adik-beradiknya yang kebanyakannya memang tinggal di kampung kami.

Sekejap saja rumah kami telah dipenuhi orang. Akhirnya selepas dapat bersalam dan bercakap dengan semua adik beradiknya, beliau menghembuskan nafas yang terakhir pada usia 67 tahun. Anak-anaknya yang ada di sisi ialah Pak Zan dan Pak Azim.

Selepas itu barulah anak-anak yang lain bergegas pulang ke kampung. Terkilannya kerana tak dapat berada di sisi semasa beliau menghembuskan nafas yang terakhir. Hanya sempat untuk menghantar jenazah ke tanah perkuburan. Apalagi mama yang jauh di mata ni, hanya dapat memanjatkan doa semoga rohnya dicucuri rahmat Allah.. Jenazah selamat dikebumikan selepas solat Asar.

Mama ingat lagi, semasa hayatnya beliau merupakan seorang penyabar, lembut, pemurah, merendah diri. Tapi dengan anak-anak beliau merupakan ayah yang tegas dan garang terutama semasa kami kecil. Tali pinggang dan rotan sudah biasa menjadi habuan sekiranya kami bergaduh atau buat hal. Tapi bila kami buat baik atau pun bagus dalam pelajaran dan sebagainya mesti belanja.. kacang goreng... Bila kami dewasa, sifat lembut dan penyayang beliau amat terserlah lebih-lebih lagi bila dah ramai cucu.

Kalau dengan kawan-kawan, saudara mara dan jiran tetangga, beliau sering menjadi tempat rujukan bila ada apa-apa masalah.. Bila tiba musim durian, setiap hari beliau akan round rumah jiran-jiran untuk bagi sorang sikit.. kalau sikit sorang sebiji.. kalau banyak, seorang dua tiga biji.. Hinggakan semasa beliau dikebumikan, tanah berlebih-lebihan sehingga di bahagi-bahagikan ke kubur yang sebelah-sebelah...

" Semasa dah meninggal pun seolah-olah masih nak bersedekah.."

terharunya mama bila orang ceritakan macam tu..

Arwah tok pandai mengaji berlagu. Tengoklah anak-anaknya bila masuk musabaqah al-quran semuanya berjaya atas bimbingan beliau. Ada yang sampai ke peringkat kebangsaan bawak balik piala besar macam Mak Lin, Mak Nit, Mak A. Yang tak pandai sebut huruf Ra' macam Pak Lim pun boleh menang. Arwah tok juga suka berghazal. Biasanya orang jemput kumpulan beliau untuk main di majlis perkahwinan orang. Pandai cipta lagu tu. Yelah dulu arwah tok memang kerja jadi guru muzik. Arwah tok juga ada banyak amalan atau petua untuk kehidupan seharian. Petua/amalan untuk kuatkan gigi, elak sakit perut, kena gigit tabuan, nak tanam pokok, sakit gigi semua ada bacaannya. Untuk tolak hujan pun ada amalannya. Tapi bila ditanya, beliau selalu kata untuk kegunaan keluarga dan anak cucu.. Arwah tok pun pandai mengurut juga. Masa muda-muda dulu arwah tok pandai juga bersukan. "Main bola sepak, main badminton, lumba lari.. kira jaguh kampung la.." kata nek.

Kenangan tinggal kenangan.. semoga Allah mencucuri rahmatNya ke atas roh arwah tok.. dan semoga beliau ditempatkan dalam golongan orang-orang yang beriman dan bertakwa. Amin....

------------------------------------------------------------------------

On a lighter note..

Happy Fathers Day to Ayah!!!

from mama, luqman, humaira, maisara and imran....

No comments: