October 31, 2022

Kisah Khalifah Umar Al-Khattab memecat Panglima Khalid Al-Walid

Malam tadi, Masjid Taman Sutera telah menerima kunjungan Sahibus Samahah Dr Zulkifli Al-Bakri untuk sessi ceramah khas. Beliau ialah seorang tokoh agama yang amat disegani di negara kita, bekas Mufti Wilayah Persekutuan dan juga bekas Menteri Agama. Tajuk ceramah semalam adalah berkenaan menguruskan khilaf. Namun ada satu kisah yang sangat menarik perhatian saya. Saya pasti ianya kisah yang ramai dah tau. Cuma mungkin saya yang baru tahu dan saya tak tau kenapa tapi saya rasa terkesan dengannya.

Ianya kisah Khalifah Umar Al-Khattab memecat Panglima Khalid Al-Walid. Ketika itu, angkatan tentera Islam di bawah pimpinan Panglima Khalid Al Walid sangat cemerlang dan boleh dikatakan berada di kemuncaknya. Selalu menang dalam pertempuran. Panglima Khalid Al Walid sangat handal dan hebat. Beliau hebat dalam semua disiplin - memanah, berkuda, tombak, strategi perang... segala-galanya lah. Namun tiba-tiba beliau telah dipecat sebagai Panglima dan digantikan dengan Abdullah bin Ubaid. Tentulah umat Islam pada masa itu sangat terperanjat dengan perkara itu. Namun Khalid AlWalid telah menerima pemecatan itu dengan baik. 

Kenapa Khalifah Umar AlKhatab memecat Khalid AlWalid? Adakah kerana dengki, marah atau sebagainya? Rupa-rupanya, Khalifah Umar bimbang kerana umat islam semakin mengagung-agungkan Khalid AlWalid ini. Seolah-olah setiap kemenangan adalah kerana Khalid AlWalid, tanpa Khalid AlWalid tentera islam takkan menang. Ianya seolah-olah umat islam semakin melebihkan pergantungan kepada Khalid AlWalid melebihi pergantungan kepada Allah. Atas dasar ingin menyelamatkan aqidah umat islam inilah keputusan itu telah dibuat oleh Khalifah Umar. 

Masya Allah.. Saya rasa amat kagum kepada kedua-dua tokoh ini. Khalifah Umar yang bijaksana dan Khalid Al Walid yang sudah tentu tinggi ketaqwaannya. Bayangkan sekiranya ia berlaku di zaman ini dan sekiranya tidak kuat iman, sudah tentu saja yang dipecat itu akan keluar parti dan mula memburuk-burukkan pemimpin itu. Begitu hebatnya tarbiah para sahabat Rasulullah di zaman itu. Saya rasa kembang hati bila mendengar kisah ini semalam. Tak tau lah kenapa.

Semoga ada teladan daripada kisah ini. Lebih-lebih lagi nak pilihanraya ni. Kita mahu pemimpin yang memikirkan dan melindungi rakyat, bukan saja untuk kemaslahatan duniawi, malahan juga dari segi akidah dan ukhrawi. 

Kekuasaan itu penting bagi umat islam. Namun matlamatnya ialah keampunan dan keredhaan Allah. Apa gunanya mendapat kuasa sekiranya ia mengundang kemurkaan Allah, maka jadilah kita orang-orang yang rugi, Na'uzubillah..

No comments: